KUALA LUMPUR, 16 Mei- Kementerian Komunikasi dan Digital akan memastikan pelarasan dibuat terlebih dahulu sebelum memulakan projek titik kehadiran atau Point of Presence (PoP) Fasa 2 khusus melibatkan sekolah.
Menurut Menterinya Fahmi Fadzil, ke arah itu pihaknya akan meneliti keperluan sekolah-sekolah bagi mengetahui mekanisme yang sesuai bagi pemasangan internet.
"Dia setiap negeri akan melalui fasa yang berbeza. Ada yang lengkap Fasa1 bagi PoP, ada yang akan mula Fasa 2. Ada yang masih menyelesaikan Fasa 1.
"Jadi kita akan tengok dari negeri ke negeri apa kesesuaian. Tapi saya ingin pastikan bahawa ada penyelarasan.
"Pihak pengurusan sekolah juga difahamkan bahawa masih ada sedikit usaha yang perlu mereka lakukan untuk bawa internet masuk ke dalam perkarangan sekolah," kata Fahmi selepas Majlis Ramah Raya Ahli Parlimen Lembah Pantai bersama Warga Pendidik Lembah Pantai di sini.
PoP merupakan projek kerajaan Persekutuan bawah Kementerian Komunikasi dan Digital yang menyediakan akses terbuka rangkaian jalur lebar gentian menggunakan teknologi pemasangan gentian ke rumah (FTTH).
(Fahmi ditemui selepas Majlis Ramah Raya Ahli Parlimen Lembah Pantai bersama Warga
Pendidik Lembah Pantai)