FOTO: MBI
IPOH, 13 Januari - Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh terima dua unit alat bantuan pernafasan daripada Bandaraya Nanning, China.
Perkara itu hasil hubungan Bandaraya Persahabatan yang dijalinkan antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama Bandaraya Nanning.
EXCO Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, dua alat bantuan pernafasan itu dianggarkan bernilai RM136,000 dan akan dimanfaatkan sebaiknya bagi menyelamatkan pesakit.
"Sumbangan ini untuk hospital atau ke Klinik Kesihatan (KK) adalah kita laksanakan dari semasa ke semasa, ia atas usaha daripada Datuk Rumaizi dengan kerjasama Bandaraya
Nanning yang mana kerjasama ini telah dijalinkan sejak 2005 lagi," katanya.
Dalam perkembangan lain, Akmal menjelaskan setakat ini tiada laporan mengenai kad vaksin palsu diterima di Perak.
Jelas beliau, ketika ini Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pihak berkaitan yang lain menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa.
"Setakat ini tiada kes pemberian sijil vaksin palsu di Perak dan In shaa Allah jika ada, kita harap tindakan tegas akan diambil dengan segera," kata beliau selepas menyempurnakan majlis sumbangan tersebut di Ipoh.