MUAR, 28 Oktober- Kerjasama baik Malaysia dengan negara anggota ASEAN memainkan peranan penting dalam meningkatkan kadar Ukuran Pembangunan Keyakinan atau Confidence Building Measures (CBM), khususnya dalam sektor pertahanan.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata antara faktor menjadi nilai tambah kepada CBM adalah kekerapan interaksi bersama negara dan tentera negara terlibat.
Interaksi yang baik juga dapat meningkatkan keyakinan dan ketelusan antara negara-negara, seterusnya dapat menyelesaikan isu berbangkit.
Antara isu yang berjaya diselesaikan ialah konflik Thailand-Kemboja, menerusi Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL ACCORD), yang dilihat berjaya meletakkan Malaysia di mata dunia.
"Pencapaian KL Accord ini adalah hasil usaha gigih di sebalik tabir oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pasukan rundingan, Kementerian Luar Negeri dan pelbagai pihak lain yang terlibat.
Ia merupakan satu pengiktirafan dunia terhadap keupayaan Malaysia, selepas menyaksikan peranan dan komitmen ASEAN sepanjang beberapa hari ini yang menerima pujian tinggi daripada pelbagai pihak," kata Jeneral Tan Sri Mohd Nizam kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI, di sini.
Jelasnya, hasil kerjasama erat itu juga dapat memberi manfaat kepada aspek peningkatan keselamatan siber serta latihan ketenteraan.