MUAR, 28 Oktober- Pemerkasaan agenda Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menjadi antara fokus Sekolah Angkat MADANI Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak, Muar.
Usaha itu disokong, dengan penyerahan satu set robotik kepada sekolah berkenaan.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata sekolah berkenaan dipilih susulan menjadi tempat beliau menuntut ilmu pada tahun 1979 hingga 1983.
Antara inisiatif yang dijalankan di sekolah berkenaan ialah pameran aset ketenteraan dan perasmian studio layar hijau yang dilengkapi teknologi "chroma key", bagi tujuan penyiaran sekolah tersebut.
“Program sekolah angkat ini bukan sahaja melibatkan sumbangan dari segi kewangan, tetapi saya juga telah mencadangkan kepada para guru agar diwujudkan program mentor-mentee.
Kami boleh hadir untuk memberikan semangat, bimbingan serta bantuan yang diperlukan, kerana pengalaman yang lalu boleh dijadikan panduan dan inspirasi kepada mereka," kata Jeneral Tan Sri Mohd Nizam kepada pemberita, hari ini.
Pelaksanaan program tersebut membuktikan komitmen berterusan ATM dalam mengukuhkan kerjasama tentera dengan awam, selain sentiasa bersama dengan rakyat demi kesejahteraan bersama.
Sementara itu, ATM juga memilih Kampung Temiang, Muar sebagai Kampung Angkat ATM.