fb fb fb fb fb

Hospital Digital di Padang Besar direalisasikan

(Zahidi pada majlis Karnival Merdeka Keluarga Malaysia di Padang Besar, Perlis)

KANGAR, 13 Ogos- Selepas beberapa kali terhenti, projek Hospital Digital di Padang Besar, Perlis akan direalisasikan tidak lama lagi, sekali gus menjadi hospital kedua di negeri ini.

Hospital tersebut bakal dilengkapi peralatan berteknologi tinggi selain akan memanfaatkan teknologi 5G termasuk dalam proses pembedahan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata pembinaan hospital bernilai RM300 juta itu telah diluluskan oleh kerajaan dan kini dalam proses perbincangan lokasi yang sesuai.

"Hospital Digital ini kalau nak buat pembedahan tertentu, maka kita guna pakar-pakar luar negeri dan di Kuala Lumpur, terus dengan digital ini, maknanya 5G sebab kita sudah bincang dengan Telekom untuk 5G dan sebagainya.

"Kita dah bincang maknanya boleh buat pembedahan dengan mengunakan 5G sahaja, kita gunakan maknanya internet, connectivity dan sebagainya, ada gambar semua kita boleh tengok. Dari segi pembedahan semua, visual boleh ada di sini walaupun doktor tu berada di Amerika atau Eropah," katanya.

(Zahidi Zainul Abidin)

Beliau ditemui pemberita selepas majlis perasmian Karnival Merdeka Keluarga Malaysia di Padang Besar, Perlis.

Hospital Digital berkenaan dijangka mempunyai keluasan 60 ekar dengan pelbagai fasiliti bagi tujuan perubatan dan pembelajaran.

Media Baharu