fb fb fb fb fb

Menteri serah kepada polis siasat kes buli MRSM Kuantan

(Mahdzir ketika melawat Laman Padi di Maeps, Serdang hari ini)

SERDANG, 13 Ogos- Tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang terlibat dalam kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan isu berkenaan dan pelajar terlibat boleh dibuang sekolah berdasarkan SOP sedia ada.

"Kes yang di Kuantan ini sudah masuk kepada laporan polis. Saya tak nak ulas apa-apa lagi, biarlah polis yang siasat, kemudian nanti kita tengok laporan itu.

"Sebab bila dah masuk kes polis, kedua-dua pihak akan dipanggil, biarlah polis buat siasatan," katanya.

(Mahdzir Khalid)

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat Laman Padi di Maeps, di sini hari ini. 

Sebelum ini, tular seorang pengguna Facebook, Nazrah Mohamed mendakwa tiada sebarang tindakan diambil pihak pengurusan MRSM Kuantan berhubung kes buli membabitkan anaknya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Wan Mohd Zahari Wan Busu pula mengesahkan menerima dua laporan kes buli daripada warden dan ibu pelajar MRSM Kuantan, semalam.

Media Baharu