fb fb fb fb fb

Hormati kuasa prerogatif Agong, PDRM gesa orang ramai tidak sertai perhimpunan haram

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Januari- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa supaya orang ramai tidak menyertai sebarang perhimpunan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menerusi satu kenyataan berkata PDRM menjunjung titah kenyataan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif pengampunan yang termaktub dalam Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

"Demi menghormati titah kenyataan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan menjaga keselamatan serta ketenteraman awam, PDRM menggesa supaya orang ramai tidak menyertai apa jua perhimpunan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak", jelasnya dalam kenyataan.

Jelas Razarudin, pihaknya turut menyeru semua rakyat untuk terus mendukung prinsip Rukun Negara, terutamanya berkaitan kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan, yang menjadi asas kepada keharmonian dan kemakmuran negara.

Terdahulu, beberapa parti politik didakwa bakal menganjurkan Himpunan Solidariti pada 6 Januari (Isnin) depan di Istana Kehakiman Putrajaya sebagai tanda sokongan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD