KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pembangunan Desa, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang ditubuhkan secara rasmi hari ini, menjadi platform strategik peringkat tertinggi bagi memacu transformasi luar bandar.
Mesyuarat pertama yang berlangsung di bangunan Parlimen itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dengan memberi tumpuan kepada enam bidang fokus utama pembangunan desa, iaitu pendidikan, pembangunan usahawan, ekonomi desa, teknologi dan pendigitalan, pelancongan desa serta infrastruktur desa.
Sebanyak 12 kementerian dilantik sebagai ahli tetap HLC, yang akan bermesyuarat sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi membincangkan dasar serta pelaksanaan pembangunan desa secara menyeluruh merentas kementerian dan agensi.
Pada mesyuarat itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut mengumumkan empat inisiatif rentas kementerian sebagai langkah awal pelaksanaan, merangkumi pemerkasaan sistem permohonan berpusat bagi kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (UP_TVET), Inap Desa Tahun Melawat Malaysia 2026, Karnival Mega 3 Dimensi (KM3D) sebagai platform keusahawanan berskala besar, dan Sistem Tunggal Permohonan SBP-MRSM bagi ambilan 2026 untuk menyelaras akses pendidikan berkualiti.
“Penubuhan HLC ini selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan tata kelola bersepadu bagi mengurangkan pertindihan fungsi, mengoptimumkan sumber dan mempercepat pencapaian hasil,” katanya.
Beliau menegaskan, HLC akan memperkukuh tadbir urus pembangunan desa, memastikan penyampaian perkhidmatan yang telus, tangkas dan tuntas, selain menjadikan komuniti desa sebagai pemacu utama dalam landskap pembangunan negara.
“Kerajaan berhasrat untuk mengurangkan penghijrahan belia ke bandar dengan mewujudkan lebih banyak peluang di desa, melahirkan tekno-usahawan, memperkukuh peranan Lembaga Kemajuan Wilayah melalui model perniagaan baharu, serta merancakkan sektor pelancongan desa yang berdaya saing,” jelasnya.
Menurutnya, pembangunan desa bukan sekadar membina infrastruktur fizikal, malah membina masa depan serta menggerakkan potensi rakyat untuk merealisasikan ekosistem desa yang makmur, lestari dan mampu memacu kemajuan negara.