KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Langkah menyatukan kawasan tanaman getah terbiar di seluruh negara diyakini mampu meningkatkan pengeluaran tempatan.
Menurut Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, inisiatif itu sekali gus, mengurangkan kebergantungan terhadap getah import.
Jelas beliau, perancangan jangka panjang telah digerakkan bagi menggabungkan kawasan yang tidak lagi diusahakan secara aktif oleh pekebun kecil.
“Kita dalam proses dan sudah ada perancangan untuk menggabungkan kawasan getah yang dimiliki pekebun kecil tetapi tidak lagi diusahakan.
Perbincangan telah dibuat supaya mereka boleh menyenaraikan tanah kepada Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk diurus bersama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), supaya kita dapat aktifkan semula dan kurangkan import getah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang Kementerian Perladangan dan Komoditi Tahun 2025, di sini.
Menurut Datuk Seri Johari, meskipun pengeluaran getah menunjukkan peningkatan, ia masih belum mencukupi untuk menampung keperluan industri domestik.
Beliau memaklumkan, kerajaan komited meneruskan program penanaman semula komoditi, khususnya getah, bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi memastikan sektor itu terus memberi sumber pendapatan berterusan kepada pekebun kecil.