PUTRAJAYA, 14 Ogos – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan lima anggotanya yang kini sedang disiasat.
Panglima Angkata Tentera ATM, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar menegaskan, penahanan itu tidak menjejaskan operasi di lapangan kerana anggota terlibat telah diganti, sambil menyeru orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
"Kami akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak SPRM dalam menangani masalah ini sama ada betul ataupun tidak. Sekiranya betul kita akanmengambil tindakan sepatutnya.
"Sementara menanti gambaran jelas berkenaan perkara yang berlaku, kami semua akan terus memberi kerjasama penuh dan telus kepada SPRM tanpa berselindung," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pemasyhuran Hall of Fame yang Pertama Maktab Ketahanan Nasional di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, ATM kini mengetuai Pasukan Pemerhati Interim (IOT) ASEAN di sempadan Thailand-Kemboja bagi memantau pelaksanaan gencatan senjata.