SHAH ALAM, 14 Ogos - Lebih 600 pelajar dan pensyarah membabitkan empat politeknik dan satu kolej komuniti sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan menyertai Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 Bersama Siswa Peringkat Politeknik, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata, program bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai dunia kewartawanan di Malaysia.
Selain menjadi platform membawa mesej kepentingan penggunaan Internet yang selamat.
"Sambutan HAWANA tahun ini kita memang telah merancang untuk meneruskan jelajah HAWANA bersama siswa. Tahun lepas kita buat di enam zon melibatkan universiti awam, jadi tahun ini kita akan pergi ke politeknik, untuk berlaku adil kita cuba ke semua institusi pendidikan.
"Kita juga dibantu rakan strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), jabatan dan agensi-agensi lain di bawah Kementerian Komunikasi. Ini matlamat kami sebenarnya, selain daripada memperkenalkan bidang kewartawanan, kita juga bawa mesej kempen internet selamat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Program Jelajah HAWANA 2025 Bersama Siswa Peringkat Politeknik, di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), di sini.
Majlis Pelancaran telah disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi, Mazlan Abd Mutalib. Hadir sama, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman.
PSA menjadi pembuka tirai siri jelajah itu dengan tiga sesi perkongsian ilmu yang membincangkan topik berkenaan Mobile Journalism, Semakan Fakta dan ceramah Kempen Internet Selamat.
Majlis penutup program jelajah HAWANA 2025 itu dijangka akan diadakan di Johor.