fb fb fb fb fb

BFF 2025 catat lebih 120,000 pengunjung, limpahan ekonomi cecah RM35 juta

Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa/BERNAMA

PUTRAJAYA, 14 Ogos – Borneo Flora Festival (BFF) 2025 melabuhkan tirainya dengan kejayaan membanggakan apabila merekodkan kehadiran 120,154 pengunjung sepanjang lima hari penganjuran dengan limpahan ekonomi mencecah RM35 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, jumlah itu melepasi sasaran awal 50,000 orang sekali gus membuktikan kemampuan Labuan menjadi tuan rumah program berskala besar dan bertaraf antarabangsa serta melonjakkan reputasi pulau itu di persada pelancongan serantau.

"Ini adalah peningkatan 140 peratus daripada sasaran awal. Kehadiran pengunjung bukan sahaja dari Labuan, malah dari Sabah, Sarawak, semenanjung, Brunei, Filipina, Indonesia, Timor Leste, China dan India.

"Sepanjang festival, Labuan menerima lebih 66,000 pengunjung luar serta 16,680 kenderaan, selain lebih 12,000 pengunjung yang tiba melalui perkhidmatan bot laju dan feri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Rakan Strategik BFF 2025 di sini, hari ini.

Festival bunga berprestij itu turut memberi limpahan ekonomi ketara dengan nilai perbelanjaan langsung dianggarkan hampir RM22 juta dan nilai tambah kesan berganda mencecah RM35 juta.

"Ini adalah peluang untuk kita menarik pelabur, memperkasakan usahawan tempatan dan membentuk model kerjasama awam-swasta bagi meningkatkan kapasiti penginapan serta kualiti perkhidmatan pengangkutan," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Labuan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada ekosistem serantau Borneo, bukannya bergantung pada pasaran domestik semata-mata.

Kedudukannya strategik di tengah-tengah kepulauan Borneo memberi potensi besar untuk menjadi pintu masuk perdagangan, pelancongan, budaya dan acara antarabangsa, khususnya dengan pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) di Kalimantan Timur.

BFF@Labuan 2025 menjadi satu lagi bukti keupayaan Labuan untuk berdiri setanding dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan yang berdaya saing, menarik pelancong, serta memberi manfaat langsung kepada rakyat setempat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI