KUALA LUMPUR, 14 Ogos - Kerajaan memberi kelulusan khas permohonan kuota penggajian pekerja asing bagi sektor perladangan dalam mengatasi isu kekurangan tenaga kerja sektor berkenaan serta meningkatkan produktiviti dan hasil negara.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, sehingga 9 Julai lalu, 434 syarikat telah disyorkan kelulusan melibatkan lebih 34,000 kuota pekerja asing.
"Berdasarkan statistik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), sehingga 30 Jun 2025 jumlah pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) aktif bagi sektor perladangan adalah sebanyak 258,153 orang.
"Jumlah ini masih tidak mencukupi dan pihak industri melaporkan masih terdapat keperluan tambahan guna tenaga sebanyak 30,000 hingga 40,000 orang mengambil kira pekerja asing yang telah pulang ke negara asal kerana tamat tempoh permit," katanya.
Beliau menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Parlimen.
Datuk Chan turut memaklumkan, sektor agrikomoditi, khususnya industri perladangan sawit, amat bergantung kepada tenaga kerja asing, yang merangkumi lebih 70 peratus daripada jumlah tenaga kerja sektor tersebut.
Jelas beliau pada masa sama, kementerian komited memastikan keperluan guna tenaga dalam sektor perladangan mencukupi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara secara optimum.