PUTRAJAYA, 14 Ogos – Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Kebangsaan (SK) Presint 8(2) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) kerana berjaya menghasilkan Jalur Gemilang Terbesar Buatan Kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) berukuran 8.3 meter panjang dan tiga meter lebar menerusi projek seni capan terbesar.
Projek selama dua minggu itu dihasilkan kira-kira 120 murid pendidikan khas sekolah tersebut bersama 27 guru.
Guru Besar SK Presint 8(2), Zamzuriah Md Desa berkata, usaha ini membuktikan bahawa murid pendidikan khas juga mampu menonjolkan kreativiti dan menghasilkan karya berkualiti tinggi apabila diberikan bimbingan sekali gus memupuk rasa cinta kepada negara sempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan.
"Walaupun berdepan cabaran mengarahkan dan mengawal murid, guru-guru pendidikan khas tetap sabar membimbing mereka secara formal dan tidak formal sehingga projek ini berjaya disiapkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima sijil pengiktirafan The Malaysia Book of Records yang disampaikan Pegawai Rasmi Malaysia Book of Records, Siti Hajar Johor dan Siti Nurhanim Mohd Noh.
Zamzuriah menyifatkan guru-guru pendidikan khas sebagai wira negara tidak didendang kerana dedikasi mereka membentuk potensi murid khas dengan pendekatan inovatif.
Projek ini turut melibatkan pentadbir sekolah, dan hasil seni tersebut akan dipamerkan sebagai simbol kebanggaan sekolah serta inspirasi kepada masyarakat tentang kepentingan pendidikan khas dalam membentuk identiti dan patriotisme sejak usia muda.
Majlis perasmian disempurnakan Pegawai Khas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Fikir Khalid Aziz, yang turut memuji usaha sekolah dalam melahirkan semangat patriotisme melalui pendidikan inklusif.