KUALA KANGSAR, 14 Ogos- Kerajaan akan memberi tumpuan kepada penambahbaikan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli dalam Belanjawan 2026.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata hasrat tersebut telah dinyatakan kepada Kementerian Kewangan untuk penelitian lanjut.
"Belanjawan akan datang memang kita mohon, tetapi setakat ini belum tahu jumlah yang akan diperoleh. Namun, kita yakin akan mendapatkannya kerana ada keperluan untuk menambah baik tahap jalan tersebut.
Ia bukan peruntukan khusus atau khas, sebaliknya akan disalurkan melalui peruntukan biasa," kata Datuk Seri Alexander kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Jambatan Sultan Muzaffar Shah, di Dataran Amanjaya Manong, Kuala Kangsar, pagi tadi.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan kementeriannya telah siap memasang 385 batang lampu solar di lokasi strategik termasuk selekoh berbahaya dan kawasan berisiko sepanjang JRTB.
Selain membaik pulih besi penghadang jalan yang rosak, perabot jalan dan mengecat semula garisan pada jalan tersebut.