fb fb fb fb fb

Tingkat literasi digital rakyat, bendung salah guna AI

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Ogos- Peningkatan literasi digital dan media dalam kalangan rakyat adalah penting dalam mengenal pasti sumber sahih serta membezakan antara fakta dan manipulasi.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata teknologi kecerdasan buatan (AI) sememangnya membawa pelbagai manfaat namun, penggunaannya perlu disertai dengan tanggungjawab dan kesedaran agar ia tidak disalah guna.

"Saya berpendapat teknologi AI mempunyai kebaikan tersendiri. Antaranya, ia dapat membantu mempercepatkan kerja-kerja media tradisional. Namun, pada masa yang sama, terdapat juga cabaran tertentu.

Sebagai contoh, pihak ketiga boleh mengambil kandungan yang dihasilkan oleh media tradisional tanpa mematuhi hak cipta atau memberi kredit. Selain itu, kewujudan AI turut memudahkan penghasilan berita palsu.

Oleh itu, saya berpandangan bahawa amat penting untuk kita terus meningkatkan literasi digital dan literasi media dalam kalangan rakyat agar masyarakat menjadi lebih celik dan berupaya menilai maklumat dengan bijak," katanya ketika ditemui selepas program 'What Say You' di sini, hari ini.

Tambah beliau, penyebaran maklumat yang tidak sahih boleh membawa kesan negatif, termasuk mengganggu proses siasatan serta memberi tekanan kepada pihak yang terlibat.

"Sebagai contoh, saya perasan kebelakangan ini banyak maklumat tentang kes Allayarhamah Zara tersebar di media sosial. Saya amat bersimpati terhadap apa yang berlaku.

Namun, pada masa sama, saya juga perhatikan bahawa banyak berita palsu atau maklumat yang belum disahkan menjadi viral di media sosial. Situasi ini sebenarnya menimbulkan gangguan dan tidak membawa sebarang manfaat kepada masyarakat kita," tambah Teo.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM