fb fb fb fb fb

Serangan anak Rafizi, PDRM jalankan siasatan menyeluruh - Datuk Fahmi

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Ogos- Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan bahawa masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan berhubung insiden serangan terhadap anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, semalam.

Jelasnya, siasatan penuh diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesahkan punca dan butiran sebenar kejadian.

“Mungkin terlalu awal untuk saya mengulas perkara ini. Pagi tadi, Datuk Seri Saifuddin Nasution memaklumkan kepada pimpinan Parti Keadilan bahawa beberapa tindakan akan dilaksanakan. Beliau juga memberi sedikit perkembangan kepada anggota Jemaah Menteri. Namun, kita serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.

Saya juga mengecam tindakan yang sama sekali tidak boleh diterima ini dan berharap pelaku dapat segera ditangkap serta dihadapkan ke muka pengadilan,” tegas Datuk Fahmi.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Mercu Tanda Kampung Kerinchi di KL Gateway Mall, hari ini.

Setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang maklumat berhubung keadaan terkini anak Rafizi yang berada di Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, Selangor.

Beliau juga memaklumkan bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan bahawa aspek keselamatan Datuk Seri Rafizi dan keluarga akan dipertingkat dalam masa terdekat.

"Aspek keselamatan Datuk Seri Rafizi dan keluarga akan dipertingkat dalam tempoh terdekat ini untuk memastikan sebarang perkara yang tidak diingini," katanya.

Fahmi turut menolak untuk mengaitkan insiden tersebut dengan sebarang motif politik sehingga hasil siasatan diperoleh.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM