fb fb fb fb fb

Himpunan Suara Rakyat kongsi idea pembangunan & reformasi negara

Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin

KUALA LUMPUR, 20 September- Rakyat Malaysia dijemput untuk mengambil peluang dan turut serta dalam Himpunan Suara Rakyat, Suara Keramat yang akan berlangsung malam ini di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, orang ramai wajar memanfaatkan ruang itu untuk menyatakan hasrat, aspirasi dan cita-cita mereka mengenai pembangunan negara kepada Perdana Menteri.

Selain itu himpunan berkenaan juga akan menceritakan perjuangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tahun 1998 sehingga tahun ini yang perlu dikongsikan kepada rakyat. Kisah perjuangan reformasi itu diceritakan dalam pelbagai elemen menarik berbanding himpunan sebelum ini.

"Himpunan-himpunan yang biasanya akan dipenuhi dengan syarahan demi syarahan. Tetapi dalam himpunan kali ini kita menggabungkan ke semua elemen dalam gerakan reformasi yang diasaskan pada 1998.

"Kita masukkan elemen budaya dan ada pentas-pentas budaya, teater pendek, sajak dan juga lagu-lagu perjuangan yang dinyanyikan sewaktu kita memulakan gerakan reformasi. Di samping itu ada juga penceritaan fasa demi fasa sejak 1988 sehingga 2024," katanya.

Beliau bekata kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.

Pada masa sama beliau turut mencadangkan kisah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dimasukkan dalam sistem pendidikan bagi memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai sejarah kepimpinan beliau.

Kemuncak himpunan itu ialah sesi pidato Anwar yang dijadualkan pada pukul 10.00 malam yang akan disiarkan secara langsung menerusi TV1 dan turut disiarkan di NasionalFM.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI