KOTA BHARU, 25 Oktober - Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Suara Gaza terus menggerakkan masyarakat agar membantah kekejaman dan serangan genosid Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Pengerusi Gabungan NGO Suara Gaza Nazri Deraman berkata, pihaknya akan menganjurkan solidariti serta mengadakan beberapa siri jelajah Himpunan Aman Solidariti Suara Gaza di seluruh Kelantan bermula di Kota Bharu, hari ini.
Katanya, 10 NGO terlibat dalam jelajah Himpunan Aman Solidariti Suara Gaza antaranya, Pertubuhan R Kelantan, Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia, Persatuan Anak-anak Istimewa Kelantan, Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia.
Turut menyertai ialah Yayasan Amal Malaysia, Ikatan Muslim Profesional, International Relief and Humanitarian Outreach Malaysia, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia, Himpunan Kasih dan wakil kaum Cina, India serta Siam.
"Saya harap solidariti ini perlu diteruskan dan kami akan mulakan kembali gerakan ini. Insya-Allah hari pertama kita mula di Kota Bharu dan lepas ini kita akan terus ke beberapa masjid besar di Kota Bharu dan di beberapa tempat di seluruh Kelantan.
"Dan Insya-Allah saya harap bukan sahaja Kelantan tetapi semua negeri di Malaysia ini terus bangkit terutama sekali untuk kita terus bagi sumbangan untuk saudara kita di Palestin," kata Nazri.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas Himpunan Aman Solidariti Suara Gaza yang diadakan di Dataran Masjid Muhammadi, di sini.
Mengulas lanjut Nazri berkata, ketika ini seluruh dunia bangkit membantah kekejaman Israel dan bersolidariti bersama-sama rakyat Palestin.
Katanya, rakyat Malaysia seharusnya tidak ketinggalan dan akan terus istiqamah membantu meringankan beban mereka yang amat memerlukan perhatian khususnya di Gaza.