KUALA LUMPUR, 22 Jun- Penyampaian informasi berkaitan pertanian perlu lebih berkesan dalam menarik minat lebih ramai menceburi bidang berkenaan, khususnya golongan muda.
Ia sebagai salah satu usaha dalam menggerakkan kembali kempen 'Buku Hijau' 2.0.
Perunding Pertanian, Alias Saad berkata inisiatif kempen ini berupaya membantu menyokong Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan 2021-2025.
(Alias Saad)
Menurutnya, mekanisme moden perlu diselit elemen lebih segar kerana jika kegiatan berkebun dilakukan, masalah ancaman sekuriti makanan akan dapat diatasi.
Pada masa sama harga bagi keperluan asas akan dapat diturunkan dan meningkatkan kuasa beli rakyat semula.
"Kita nak sampaikan mesej ini, kita nak cari satu platform bagaimana mesej-mesej ini dapat memberi pencerahan terutama kepada golongan muda.
"Bila sebut pertanian ini kita perlu orang muda sebab memang jelas kita perlu tenaga, perlukan sedikit kreativiti," katanya.
Beliau ditemui selepas menjadi tetamu program rancangan terbitan RTM di Angkasapuri.
Dalam pada itu, Alias berkata amalan bertani di kawasan rumah seharusnya dinormalisasikan dan secara tidak langsung membantu mengurangkan kos sara hidup.