fb fb fb fb fb

RTS Johor Bahru-Singapura disasar capai kemajuan 70% Disember 2023

(FOTO MRT CORP)

JOHOR BAHRU, 22 Jun- Pembangunan infrastruktur Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura disasar mencapai kemajuan 70% menjelang Disember tahun depan.

Ia melibatkan rel, stesen dan depoh.

Manakala kemajuan 50% disasar bagi Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ).

Menurut Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh pemasangan tren, sistem dan percubaan pula dijangka pada 2025, iaitu sebelum RTS memulakan operasi pada 2026.

Kerajaan negeri juga merancang mewujudkan Jawatankuasa Pengintegrasian Pengangkutan Awam di Johor Bahru bagi merangka aliran pergerakan penumpang yang menggunakan RTS.

"Antara sistem yang akan diintegrasi adalah sistem bas (perkhidmatan bas Muafakat Johor dan bas-bas komersial), sistem Iskandar Rapid Transit, projek landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru dan cadangan pembangunan LRT Johor Bahru," katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa Sidang Dewan Negeri Johor ke-15 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, di sini hari ini.

(Mohamad Fazli menjawab soalan lisan semasa Sidang Dewan Negeri Johor
ke-15 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini)

Dalam pada itu, Mohamad Fazli berkata kerajaan negeri turut bersetuju melaksanakan kajian kebolehlaksanaan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di bandar raya Johor Bahru.

Antaranya melibatkan Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan Majlis Perbandaran Kulai.

Kajian membabitkan lokasi sesuai pembinaan stesen, laluan serta kepadatan penduduk.

Media Baharu