fb fb fb fb fb

Hentikan polemik, masyarakat harus faham susur galur kes - YADIM

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 10 Februari- Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyeru semua pihak dalam kalangan umat Islam agar bertenang dan memahami susur galur kes berkenaan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Nik Elin, Tengku Yasmin dan kerajaan negeri Kelantan. 

Ketua Pegawai Eksekutif YADIM Zamri Zainal Abidin menerusi satu kenyataan menyatakan sokongannya terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Perkara itu berkenaan kajian segera ke atas alasan penghakiman kes tersebut yang akan disusuli dengan perancangan lanjut bagi memastikan agenda penambahbaikan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah akan terus berjalan di Malaysia. 

"YADIM terlebih dahulu menyeru semua pihak dan segenap lapisan masyarakat khasnya dalam kalangan umat Islam agar bertenang dan berusaha memahami susur galur kes ini secara ilmiah.

"Ini kerana tanggaan-tanggapan negatif khasnya yang banyak dilontarkan secara bebas di media sosial tidak membawa apa-apa kebaikan selain meimbulkan kekeruhan massa," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun YADIM percaya dan yakin penegasan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkenaan kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia kekal utuh seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

YADIM juga bersedia untuk memberikan bantuan dan kerjasama penuh kepada Mohd Na'im dan jabatan itu sebagai saluran sebaran maklumat benar dan tepat kepada rakyat dalam isu ini agar Islam diperkasakan di negara ini. 

Keputusan berkenaan perkara tersebut seakan memberi gambaran negatif terhadap kedudukan Islam terancam bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Selain itu polemik yang tidak berasas terhadap keputusan berkenaan dilihat akan mencetuskan kekeruhan dan situasi negatif dalam kalangan masyarakat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI