KUALA LUMPUR, 10 Februari - Sebanyak 1,614 kes kemalangan direkodkan di seluruh negara pada hari kedua menerusi Op Selamat 21, Tahun Baharu Cina yang dilancarkan pada 8 Februari lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata daripada angka tersebut, sebanyak 13 kematian dilaporkan dengan 12 kes kemalangan maut.
"Statistik kemalangan ini merekodkan sebanyak 1,986 kenderaan.
"Sepanjang musim perayaan ini, JSPT mengenal pasti sebanyak 18 hot spot (lokasi panas) dan 46 black spot (lokasi hitam) di kawasan lebuh raya, selain 407 lokasi hot spot serta 76 black spot di negeri dan daerah," katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Op Selamat 21 dilancar bermula Khamis lalu hingga 13 Februari ini sempena Tahun Baharu Cina.
Pada hari pertama Op Selamat 21, sebanyak 1, 953 jumlah kemalangan dilaporkan yang melibatkan 2,399 kenderaan.
Pada 7 Februari lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Op Selamat bagi edisi kali ini masih mengekalkan tema "Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi'.
Dua objektif utama JSPT iaitu meminimumkan kemalangan jalan raya serta memastikan kelancaran trafik dan mencegah jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan.