MELAKA, 10 Februari- Sebuah kedai menjual peralatan dapur dan elektrik serta empat kenderaan musnah dalam kebakaran di Taman Seri Duyong 2 di Melaka awal pagi tadi.
Komander Operasi Penguasa Kanan Bomba II Muhammad Izwan Arief Mat Nor dalam satu kenyataan berkata, 35 anggota bomba digerakkan ke lokasi kejadian susulan panggilan kecemasan pada pukul 12.23 tengah malam.
"Sejurus tiba di lokasi sembilan minit kemudian, didapati benar berlaku kebakaran kedai jenis separuh kekal yang berkeluasan 70x250 kaki persegi itu telah 80 peratus terbakar.
"Difahamkan pada waktu kejadian kedai telah ditutup dan kebakaran itu turut melibatkan dua kereta iaitu jenis Toyota Estima dan Proton Satria, satu lori jenis Isuzu dan satu van," katanya dalam kenyataan itu.
Bagaimanapun api dapat dikawal kira-kira pukul 3.40 pagi hasil operasi pemadaman oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil dibantu BBP Padang Temu, BBP Melaka Tengah, BBP Ayer Keroh dan BBP Tangga Batu.
Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 1.17 tengah hari tadi selepas kebakaran dipadamkan sepenuhnya selain memastikan tiada risiko berbahaya.