fb fb fb fb fb

Henti sebar video culik kanak-kanak, elak kegusaran masyarakat

ALOR SETAR, 29 September- Penularan video atau maklumat berkaitan kes penculikan kanak-kanak terutama pelajar sekolah di Kedah kononnya untuk dibawa ke sempadan Malaysia-Thailand bagi pengambilan organ manusia tidak wajar disebarkan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata tindakan seperti itu hanya akan menimbulkan kegusaran dan kebimbangan kepada orang ramai.

"Ibu bapa diminta mengawasi anak masing-masing selain menjemput anak di sekolah pada waktu yang ditetapkan," kata Datuk Wan Hassan menerusi kenyataan di laman rasmi Facebook polis Kedah.

Beliau mengulas satu video tular berlaku kes cubaan culik di Baling.

Menurut perkongsian video oleh pemilik Facebook Aziyanti Azizan, beliau mendakwa anak saudaranya didatangi seorang wanita yang mendakwa rakan ibunya dan datang menjemput kanak-kanak itu untuk pulang ke rumah.

Aziyanti mendakwa ibu kanak-kanak terbabit akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.


(Video tular)

Terdahulu, polis Kedah meningkatkan kawalan rondaan dan menempatkan anggota di kawasan sekolah dikenal pasti bagi mengelak berlakunya kejadian culik.

Datuk Wan Hassan berkata Unit Kereta Peronda MPV dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan melakukan pemantauan dan rondaan dua kali setiap hari iaitu pada waktu pagi dan tengah hari ketika murid pulang dari sekolah.

Tambahnya, setakat ini polis telah menerima dua laporan berkaitan cubaan culik iaitu di Gurun dan Tanjung Dawai.

Media Baharu