fb fb fb fb fb

Polis giat buru suspek dipercayai terlibat kes samun seorang wanita

NILAI, 29 September- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat mengesan suspek utama yang dipercayai melarikan diri setelah terlibat dalam kes samun sehingga menyebabkan kematian seorang wanita bergelar Datin di rumah wanita itu di Taman Paroi Jaya, Seremban, Jumaat lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, DCP Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata pihaknya telah mengambil keterangan beberapa individu termasuk ahli keluarga mangsa serta jiran bagi membantu siasatan.  

Suspek seorang lelaki yang mempunyai pertalian saudara dengan mangsa sedang dijejaki selepas dipercayai telah melarikan diri.

"Kami masih lagi apa sedang mengesan suspek dan kes ni kita tahula pdrm dapat maklumat bahawa suspek ni sedang melarikan diri so kami sedang mengambil segala usaha yang dalam bidang kuasa pdrm ni untuk menjejak dan seterusnya mengesan dan tangkap suspek," kata Ahmad Dzaffir kepada RTM ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Surat Penghargaan PDRM kepada Pengusaha Stesen, Pelancaran Mural serta Poster Keselamatan Petron Malaysia di Petron Nilai Impian, di sini.


(Ketua Polis Negeri Sembilan, DCP Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof ditemui pemberita RTM selepas Majlis Penyampaian
Surat Penghargaan PDRM kepada Pengusaha Stesen, Pelancaran Mural serta Poster Keselamatan Petron Malaysia di Nilai)

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Aidi Ismail.

Sabtu lalu, media melaporkan seorang wanita warga emas bergelar Datin berusia 75 tahun ditemukan mati akibat dibunuh selepas berlaku pergelutan dengan penjenayah di rumahnya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Dzaffir meminta orang ramai berhenti menularkan video cubaan menculik kanak-kanak kerana sekiranya kejadian tersebut tidak benar ia boleh menimbulkan kegusaran awam dan ketakutan kepada masyarakat terutamanya ibu bapa.
 

Media Baharu