fb fb fb fb fb

Henti polemik perkauman, semua rakyat dijamin hak sama rata - PM

(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman bersama Menteri Sumber Manusia
V. Sivakumar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Lestari Niaga@Kuala Lumpur
D’Medan Selera Madani di Kompleks Tun Sambanthan hari ini/Foto Bernama)

KUALA LUMPUR, 4 September- Semua pihak mesti menghentikan polemik perkauman, kerana rakyat dijamin hak sama rata dan keadilan.

Merujuk modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang dilancarkan Kementerian Pendidikan pada 19 Ogos lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, ia hanya disasarkan kepada murid beragama Islam.

Tiada paksaan bagi bukan Islam untuk mempelajarinya.

"Mata pelajaran ini untuk anak-anak Islam dalam mata pelajaran pengajian Islam, tanyalah dulu, janganlah marah dulu.

"Kalau hari ini saya datang ke Little India, pelampau-pelampau ini akan kata Anwar ini jaga India sahaja, tidak jaga Melayu...bila bercakap soal Melayu termasuk teks minta anak-anak Islam baca hadis, akan kata Anwar ini jaga Islam sahaja...semua tidak kena," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika melancarkan Program Lestari Niaga@Kuala Lumpur D’Medan Selera Madani di Kompleks Tun Sambanthan, di sini hari ini.

Jelas Perdana Menteri, menjadi tanggungjawab beliau sebagai pemimpin untuk memastikan Islam dihayati dan difahami dengan betul.

(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Pelancaran Program
Lestari Niaga@Kuala Lumpur D’Medan Selera MADANI di Kompleks Tun Sambanthan hari ini/Foto Bernama)

Pada majlis itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan RM10 juta bagi menaik taraf gerai dan warung di seluruh Kuala Lumpur.

"Saya telah pastikan untuk kenaikan gerai-gerai termasuk kawasan peniaga Little India ini, kita tambah peruntukan dan untuk tahun ini kita tambah RM10 juta ringgit untuk tujuan itu," katanya.

Media Baharu