PASIR SALAK, 17 Ogos - Anggota serta pegawai pasukan pertahanan dan keselamatan di negara ini dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan kedudukan mereka untuk melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang, demi kepentingan peribadi.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu perbuatan itu dihentikan segera kerana ia melibatkan imej serta integriti pasukan keselamatan dan pertahanan negara.
Beliau turut bersetuju dengan kenyataan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar yang tidak akan berkompromi dalam isu penyalahgunaan kuasa.
"Imej tidak akan terjejas, tetapi akan tercalar. Sehubungan itu, ia mesti dielakkan. Saya harap ini jadi satu pengajaran mahal untuk yang lain-lain, apa juga pasukan penguat kuasa supaya tidak melakukan kerja yang sama ataupun kerja-kerja berlainan dengan tujuan yang sama," kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Santunan Desa KEMAS Negeri Perak Bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Komuniti KEMAS di Dewan Besar Bandar Baru FELCRA Seberang Perak di sini.
Rabu lepas, 10 individu termasuk lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada kumpulan penyeludup serta bersekongkol dengan sindiket jenayah terancang.