SEKINCHAN, 17 Ogos - Sebanyak 52 keluarga yang terjejas dalam kejadian ribut di Taman Ria di sini pada 11 Mac lalu menerima sumbangan wang tunai daripada Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI serta Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam (PDTSB).
Setiap keluarga menerima RM500 daripada MBI dan RM300 daripada PDTSB.
Penerima yang ditemui mengucapkan terima kasih dan melahirkan rasa syukur kerana masih diberi bantuan, meskipun bencana yang menimpa mereka telah lama berlalu.
"Alhamdulillah syukur sangat, dapatlah kami menampung beli apa lagi yang patut untuk rumah sebab waktu ribut tu, peralatan, perabot semua rosak. Jadi banyaklah nak beli balik," kata penerima bantuan, Norfadilah Sofea Razak.
"Rumah sudah diperbaiki guna modal sendiri dulu, tapi Alhamdulillah ada bantuan dapat menampung perbelanjaan yang lepas. Terima kasih Kerajaan Negeri Selangor," kata seorang lagi penerima bantuan, Hishamuddin Ngamdan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan yang juga Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, sumbangan yang diberikan ini merupakan antara bantuan berterusan kepada penduduk terjejas.
"Kita bantu lagi mana yang boleh. Hari ini kita adakan majlis penyerahan sumbangan RM39,500 daripada MBI yang diharap dapat menggembirakan penduduk terjejas. Kita kena pastikan struktur rumah dijaga dengan baik dan lebih kukuh dan bumbung rumah dipasang mengikut piawaian. Pemasangan bumbung yang tidak mengikut spesifikasi, antara perkara yang perlu diteliti bagi mengelak bumbung diterbangkan angin, sekiranya berlaku ribut," katanya.