PASIR SALAK, 17 Ogos - Cadangan penyerapan petugas kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ke jawatan tetap dijangka dibentangkan dalam Belanjawan 2026, Oktober depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun cadangan itu masih di peringkat perbincangan, ia tidak melibatkan pewujudan jawatan baharu atau perbelanjaan tambahan.
“Petugas KEMAS sudahpun mencarum kepada KWSP dan PERKESO. Jika jawatan itu dikekalkan, ia boleh dijadikan penanda aras untuk jawatan kontrak lain diserap ke tetap tanpa berpencen,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian selepas merasmikan Program Santunan Desa KEMAS Negeri Perak Bersama JPKK dan Komuniti KEMAS di Dewan Besar Bandar Baru Felcra Seberang Perak, Pasir Salak.
Terdahulu, Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man memaklumkan pihaknya dalam proses membawa cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menyerap kira-kira 15,600 petugas kontrak KEMAS di seluruh negara kepada jawatan tetap.