fb fb fb fb fb

Tabika Tunas Istimewa KEMAS perluas pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas

Pengerusi Komuniti KEMAS Negeri Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman.

KANGAR, 17 Ogos - Usaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi KEMAS mewujudkan Tabika Tunas Istimewa @ KEMAS di setiap negeri, disambut baik sebagai langkah memperkukuh pembangunan modal insan, khususnya pendidikan awal kanak-kanak istimewa.

Ketika ini, program berkenaan telah bermula di Melaka sebagai negeri perintis dengan pembukaan tiga tabika khas iaitu Tabika KEMAS Air Hitam Pantai di Alor Gajah, Tabika KEMAS Hang Jebat di Melaka Tengah, dan Tabika KEMAS Merlimau Barat 2 di Jasin.

Pengerusi Komuniti KEMAS Negeri Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman, berkata inisiatif tersebut penting bagi membantu keluarga di luar bandar yang mempunyai anak-anak autisme mendapatkan akses pendidikan awal secara percuma.

“Sebelum ini, kebanyakan kanak-kanak autisme hanya berpeluang belajar di tadika swasta dengan yuran yang tinggi. Dengan KEMAS, ia percuma dan memberi ruang kepada masyarakat desa untuk mendapatkan pembelajaran setara seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Program Santunan Desa KEMAS Peringkat Negeri Perlis di Denai Larian Pengkalan Asam, Kangar.

Pendekatan satu negeri satu tabika khas itu akan mula dilaksanakan di seluruh negara bermula tahun depan. Manakala menjelang 2027, ia akan diperluas kepada satu daerah satu tabika khas, dengan sasaran penubuhan 126 tabika di seluruh negara.

TUN JULIA MOHD TAHIR