SEREMBAN, 6 Jun - Ibadah korban bukan sekadar dilaksanakan semasa perayaan Aidiladha, namun ia merupakan manifestasi ketaatan kepada Allah SWT.
Menurut Pendakwah Bebas Raihan Husni, erti pengorbanan sebenar perlu dihayati oleh umat islam dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian bagi memperoleh keredaanNya.
"Aidiladha bukan sekadar menyembelih binatang korban sahaja tetapi semangat itu harus dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Ada banyak perkara yang boleh kita jadikan sebagai semangat untuk kita berkorban.
"Contohnya tukar tempat kerja agar dapat tinggal bersama keluarga bagi mencipta kebahagian dan kerukunan rumah tangga, sekali gus mendekatkan diri kita kepada Allah SWT," ujarnya ketika ditemui pada Program Suara 34 Puncak Prestasi di Konti NEGERIfm.
Tambahnya, umat islam perlu terus melakukan amal kebaikan serta meraikan hari Raya Aidiladha dengan suasana penuh kesyukuran dan penghayatan.