ROMPIN, 10 Mac- Seramai 1,127 penduduk terjejas banjir di daerah Rompin, Pahang dibenarkan pulang pagi tadi selepas 9 buah pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup sepenuhnya selepas banjir semakin surut.
Mereka yang dibenarkan pulang sibuk membersihkan kediaman masing-masing.
Bagi penduduk Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Pianggu, mereka berdukacita kerana kebanyakan harta benda rosak dan musnah.
Kejadian seumpama ini adalah kali pertama dan penduduk tidak menjangka air akan naik ke rumah sehingga paras pinggang.
"Balik pun orang kata apa, sedih tengok almari baju kita habis rosak tidak pernah lagilah orang kata tidak pernah rosak macam ni. Dulu
pun akak pindah tapi akak pindah rumah lama. Tapi tak sangkalah tingkat kedua tu. Air banjir habis dalam rumah. Kak balik tadi pun tengok, tak tahu nak kata," luah penduduk PPRT Kampung Pianggu, Hafizah Isa.
(Harta benda mangsa banjir rosak, musnah)
"Terkejut pasal air mendadak naik. Biasanya tidak mendadak macam ini tapi apabila mendadak macam ini terkejut. Sudah barang pun tidak sempat selamat macam itu.
"Banyak kain baju, barang dapur, dapur-dapur semua habis. Peti ais selamat, kalau yang lain habis," kata seorang lagi penduduk, Abu Bakar Abdullah.
Menurut laman web Info Banjir JKM, setakat 4.00 petang tadi, hanya tiga PPS masih beroperasi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Aur, SK Denai dan SK Leban Chondong.
Seramai 518 penduduk daripada 166 keluarga masih berlindung di PPS.