
DUNGUN, 18 Julai – Seorang penternak lembu di Hulu Dungun mengalami kerugian selepas dua ekor lembunya dipercayai diserang seekor harimau kumbang dalam kejadian di kawasan ternakannya, pada Jumaat.
- Romzi Romli menemui kehilangan lembu semasa pemeriksaan rutin; satu bangkai ditemui dengan kesan gigitan pada leher.
- Seekor lembu masih belum ditemui; terdapat kesan seretan berhampiran pagar menunjukkan mangsa dibawa ke hutan berhampiran.
- Romzi bimbang serangan susulan dan kemungkinan risiko terhadap manusia memandangkan ternakan berhampiran kawasan hutan.
- ADUN Ghazali Sulaiman meninjau lokasi, memaklumkan Perhilitan Dungun dan menasihatkan pekebun serta penternak supaya berwaspada.
Kejadian itu disedari Romzi Romli, 53 tahun, ketika melakukan pemeriksaan rutin di ladang sebelum mendapati dua ekor lembunya hilang.
Romzi yang telah mengusahakan penternakan lembu sejak lebih 10 tahun lalu berkata, hasil pemeriksaan di sekitar kawasan ternakan menemukan bangkai seekor lembu dengan kesan gigitan pada bahagian leher yang dipercayai akibat serangan haiwan pemangsa.
Beliau berkata, seekor lagi lembu masih belum ditemui, namun terdapat kesan seretan berhampiran pagar yang dipercayai menunjukkan haiwan liar itu membawa mangsanya masuk ke kawasan hutan berhampiran.
Romzi berkata, beliau kini bimbang sekiranya berlaku serangan susulan memandangkan kawasan ternakannya berhampiran dengan kawasan hutan.
“Bahaya juga. Hari ini dia serang binatang, kalau terserempak dengan manusia pula kita takut dia serang. Memang rasa takut, tetapi kami tetap perlu pergi melihat ternakan kerana itu sumber rezeki kami,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, turut meninjau lokasi kejadian selepas menerima maklumat berhubung serangan berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya telah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Dungun untuk tindakan lanjut bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Pada masa sama, Ghazali menasihatkan penduduk, khususnya pekebun dan penternak yang berada berhampiran kawasan hutan, supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan aktiviti harian.