fb fb fb fb fb

Hari Meteorologi Sedunia: Warga MetMalaysia 'barisan hadapan' lindungi bumi - Zahid Hamidi

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan penghargaan kepada seluruh warga MetMalaysia sempena sambutan Hari Meteorologi Sedunia hari ini.

KUALA LUMPUR, 23 Mac - Warga Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memainkan peranan utama sebagai 'barisan hadapan' dalam memahami fenomena iklim agar lebih bersedia menghadapi kemungkinan bencana.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan penghargaan kepada seluruh warga MetMalaysia sempena sambutan Hari Meteorologi Sedunia hari ini.

"Terima kasih kepada seluruh Ahli Meteorologi terutamanya warga MET Malaysia di atas sumbangan menyalurkan informasi dan membantu masyarakat lebih cakna keadaan cuaca semasa dan lebih bersedia menghadapi kemungkinan bencana.
 
"Anda merupakan "barisan hadapan" yang sentiasa memberikan perkhidmatan tanpa henti kepada rakyat Malaysia dan berperanan utama dalam memahami fenomena iklim seterusnya melindungi kehidupan di planet kita," katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berharap dengan sambutan Hari Meteorologi Sedunia dapat mendidik masyarakat untuk menghargai pentingnya ahli meteorologi kepada dunia dan kepentingan memelihara kelestarian alam semulajadi.

“Teruskan bersemangat para pahlawan cuaca!” katanya.

Sempena Hari Meteorologi Sedunia 2024, Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) memilih tema Barisan Hadapan Kepada Tindakan Iklim menunjukkan betapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh komuniti meteorologi sebagai barisan hadapan dalam perubahan iklim.

Ia sebagai usaha MET Malaysia mencapai Matlamat Pembangunan Mampan atau lebih dikenali sebagai Sustainable Development Goal (SDG) untuk memastikan masyarakat lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

Hari Meteorologi Sedunia disambut pada 23 Mac setiap tahun. 

GRACE AISYAH KEDAYAN