fb fb fb fb fb

Mayat nelayan tempatan hanyut hingga ke perairan Indonesia

Mayat, Mohamad Sufian Alwi, 32, ditemukan di perairan Indonesia pada 15 Mac lalu

MERSING, 23 Mac- Mayat seorang lelaki terdampar di Pantai Pengundang, Pulau Bintan, Indonesia pada 15 Mac lalu disahkan milik nelayan warga Malaysia yang dilaporkan terjatuh ke dalam laut di kawasan Pulau Pemanggil, Mersing, Johor pada 8 Mac lepas.

Mayat, Mohamad Sufian Alwi, 32, disahkan oleh kakaknya, Noraini Alwi, pagi tadi, selepas membuat pengecaman di Rumah Sakit Umum, Tanjung Pinang, Indonesia.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim (MARITIM) Johor, Laksamana Pertama MARITIM Nurul Hizam Zakaria berkata, maklumat penemuan mayat disalurkan oleh Polis Republik Indonesia berdasarkan pakaian pada mayat tersebut.

Mayat telah hanyut sejauh 86.3 batu nautika dari lokasi mangsa dilaporkan hilang iaitu 3.3 batu nautika barat laut Pulau Pemanggil.

Mohamad Sufian dilapor terjatuh ke dalam laut ketika sedang menarik pukat pada bot nelayan yang dinaikinya, kira-kira pukul 4.30 petang, 8 Mac lalu.

Proses pengecaman mayat diuruskan oleh Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru dengan membawa keluarga mangsa ke Pulau Bintan.

2303 NELAYAN HILANG JUMPA 2
Pengecaman mayat Mohamad Sufian Alwi oleh kakaknya di Tanjung Pinang, Indonesia, hari ini

SITI AISHAH MD ISA