KUALA LUMPUR, 8 Ogos - Kementerian Luar Negeri dengan kerjasama Sejahtera Centre for Sustainability and Humanity, Universiti lslam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan menganjurkan sambutan Hari ASEAN ke-56, pada Selasa.
Sambutan Hari ASEAN bertemakan 'Promoting Regional Sustainable Growth', akan diadakan di Pusat Kebudayaan UIAM di Gombak, Selangor.
Wisma Putra melalui kenyataan berkata, tema sambutan itu menggariskan kepentingan usaha-usaha bersama ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) untuk kepentingan semua.
"Ini terutamanya apabila dunia sedang berhadapan dengan geo-politik dan ekonomi global yang tidak menentu yang memberi kesan kepada kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat.
"Ini akan memberi peluang kepada UIAM untuk mempamerkan usaha Sejahtera Centre dalam menginsankan pendidikan melalui SDGs.," katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Jelasnya, terdapat juga pameran yang melibatkan syarikat-syarikat tempatan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan mengetengahkan penyelesaian inovatif dalam agenda kelestarian.
"Ini untuk menyokong pembangunan sosial, alam sekitar dan ekonomi," tambahnya.
Kerjasama ini juga akan dapat membantu mengetengahkan usaha pelbagai sektor di Malaysia mempromosi kemampanan dan kelestarian ke arah menyumbang kepada strategi pembangunan Malaysia dalam melaksanakan SDGs.
"Di peringkat nasional, usaha tersebut adalah lanjutan daripada usaha bersama ASEAN untuk mempromosi penglibatan komunal dalam memajukan pembangunan ekonomi mampan dan inklusif di rantau ini," katanya.
Ini selaras dengan tema Pengerusi ASEAN 2023 “ASEAN Matters: Epicentrum of Growth”.