fb fb fb fb fb

Transformasi usahawan FAMA ke arah transaksi digital

(Agrobazaar Rakyat Borong Wann, peneraju pelaksanaan transaksi digital di Perlis)

PADANG BESAR, 8 Ogos- Lembaga Pemasaran Persekutuan (FAMA) kini mentransformasikan usahawan-usahawan naungannya ke arah pembayaran secara digital atau tanpa tunai dalam setiap urusan pembelian pelbagai produk yang dijual.

Tumpuan kini diberikan kepada Agrobazaar Kedai Rakyat, Agrobazaar K-Shoppe dan Agrobazaar Rakyat seluruh negara.

Menurut Pengarah Kanan Pembangunan Institusi Pemasaran FAMA, Isa Hamzah, bagi peringkat negeri Perlis ketika ini, sebanyak 25 agrobazaar  beroperasi di mana Agrobazaar Rakyat Borong Wann di Felcra Lubuk Sireh menjadi peneraju pelaksanaan transaksi digital.

Secara purata sejak dilaksanakan dua tahun lalu, Agrobazaar Rakyat Borong Wann mencatatkan purata antara RM16,000 hingga RM25,000 transaksi secara digital setiap bulan menerusi kad ATM MyDebit atau DuitNow QR.

Selain itu, kepelbagaian stok barangan yang disediakan termasuk barangan runcit, sejuk beku, sayuran segar, hasil laut dan barangan industri kecil dan sederhana menjadi tumpuan pengguna.

"Agrobazaar yang terbaik di negeri Perlis adalah di sini, Agrobazaar Wann. Agrobazaar ini menyediakan pembayaran tanpa tunai dan juga sistem yang kita akan jadikan agrobazaar borong wann ini sebagai contoh untuk agrobazaar-agrobazaar lain," katanya.

Beliau ditemui media ketika mengadakan tinjauan ke Agrobazaar Rakyat Borong Wann dan Program Jualan Agro Madani di Felcra Lubuk Sireh, Titi Tinggi.

FAMA Perlis menyasarkan sebanyak 56 program Jualan Agro Madani dilaksanakan sehingga penghujung tahun ini di outlet peruncitan dan masjid terpilih dengan melibatkan keseluruhan sebanyak 175 usahawan dengan sasaran nilai jualan mencecah RM500,000.


(Pengarah Kanan Pembangunan Institusi Pemasaran FAMA, Isa Hamzah)

Media Baharu