fb fb fb fb fb

Harga koko meningkat, kerajaan bantu petani di Sabah usahakan tanaman

Foto FB Menteri

KOTA KINABALU, 3 Mei- Petani koko terutamanya di Sabah digalakkan menanam lebih banyak pokok untuk meningkatkan hasil pengeluaran selepas peningkatan harga yang tinggi, baru-baru ini. 

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata kementeriannya melalui Lembaga Koko Malaysia (LKM) secara berterusan berusaha membantu memperkasa industri tersebut terutama daripada segi teknikal dan pemasaran. 

Menurutnya, Pusat Penyelidikan Bioteknologi Koko (PPBK) yang dibangunkan di Sabah,menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan agrobioteknologi termasuk pembangunan bahan tanaman koko berkualiti menggunakan makluman genom koko. 

Fasiliti itu turut dikenali sebagai Pusat Kecemerlangan bagi pengumpulan data Genom Klon Koko tempatan dengan simpanan sebanyak 300 sampel klon. 

Di samping itu, ia turut bertindak sebagai pemangkin bagi menyokong program usahawan coklat. 

Jelas Datuk Chan, usaha daripada kerajaan itu merupakan salah satu langkah untuk memartabatkan semula pengeluaran koko khusus di Sabah.

"Anda boleh lihat kementerian sebenarnya dia menyokong di semua peringkat, di sepanjang rantaian bekalan ini, dari atas hingga ke bawah. Harga koko sekarang amat tinggi. Kelmarin, saya semak 1 tan boleh mencapai nilai RM27,000 atau RM28,000."

"Saya amat menggalakkan penanaman koko di Sabah kerana suatu ketika dulu Sabah meman cukup terkenal dengan koko," kata Chan kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pusat penyelidikan tersebut, di sini.

Sementara itu, Pengerusi LKM, Datuk Matbali Musah berkata LKM akan terus berganding bahu dengan para pengusaha dalam memastikan supaya koko terus aktif dan menjana ekonomi di Malaysia. 

"Kita sedia maklum LKM juga telah merancang pelbagai segi pembangunan untuk para usahawan kita khususnya penanam koko. Ini merupakan usaha untuk kita memartabatkan penanaman koko melalui kolaborasi antara kerajaan dengan para pemain industri," kata Datuk Matbali kepada pemberita.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah LKM, Datuk Dr Ramle Kasin memaklumkan para petani mula menunjukkan perkembangan positif dengan menumpukan penjagaan pokok koko. 

"Dengan kita punya kenaikan harga pada ketika ini, sangat baik, ramai petani sebenarnya telah pun mula menjaga kebun koko mereka. Contohnya, mereka membuat pembajaan, pemangkasan (pruning) dan juga kawalan penyakit dan perosak. Jadi, aktiviti ini akan terus memberikan pengeluaran yang tinggi," kata Dr. Ramle kepada pemberita.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM