fb fb fb fb fb

Selangor manfaat fasiliti perpustakaan awam, sediakan perkhidmatan transit percuma

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari menyantuni pengunjung pada Majlis Perasmian Penjenamaan Semula Perpustakaan Syed Mashor

HULU SELANGOR, 3 Mei- Selangor menjadi negeri pertama dalam menyediakan perkhidmatan transit percuma di perpustakaan awam.

Ia menerusi inisiatif Perpustakaan Mesra Transit yang telah dilaksanakan dibeberapa perpustakaan terpilih di Selangor dan akan diperluaskan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari berkata usaha Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu membantu ibu bapa bekerja sekali gus menjadi rumah kedua anak-anak.

"Kita sudah buat di perpustakaan-perpustakaan daerah kita, yang turut disediakan beberapa kemudahan. Jika sambutannya baik, mereka boleh dapatkan sedikit makanan dan sebagainya. Ia juga akan membantu kepada mereka yang memerlukan terutamanya untuk transit dan untuk pergi ke sekolah petang atau pulang ke rumah setelah ibu bapa mereka pulang."

"Semenjak tahun 2021, 2022 dan 2023. Hampir setiap daerah kita sediakan tempat-tempat itu dan kita bagi ruang kepada anak anak ini untuk jadikan sebagai rumah kedua mereka," kata Datuk Seri Amiruddin kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penjenamaan Semula Perpustakaan Syed Mashor di Kuala Kubu Baharu, di sini.

Perpustakaan Syed Mashor yang dinamakan sempena nama pahlawan Melayu ulung dalam perang Kelang, dinaik taraf dengan kos RM3.25 juta dan mula beroperasi pada Oktober 2022.

Dalam pada itu, Pengarah PPAS, Datin Paduka Mastura Mohamad berkata projek perintis Perpustakaan Mesra Transit telah dilaksana di PPAS Bukit Bangkong, Sepang pada tahun lalu dan menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM