KANGAR, 3 Mei - Rakyat Malaysia diseru untuk tidak kekal selesa ditahap yang lama, baik dari segi kefahaman, pemikiran, sikap dan kesediaan dalam meletakkan asas yang lebih kukuh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dengan perkembangan masa kini, Malaysia harus berada pada landasan yang betul dan bersedia untuk membawa perubahan.
"Termasuk cabaran-cabaran dalam teknologi baru, digital, kecerdasan buatan (AI) dengan transisi atau peralihan tenaga. Walaupun kita tahu ia harus dilakar sebagai konsep yang boleh diterima oleh masyarakat Islam dan bukan Islam juga kerana saya yakin tanpa kesetiaan, kita 'koyak' dalam erti kata sebenar, maka saya tidak percaya kita akan mampu berdepan dengan cabaran semasa. Bagaimana boleh kita mulakan soal sikap dan jihad membawa perubahan ini. Kita tahu makna perjuangan itu, bukan sahaja selesa hidup, tidur dan lesu, tidak mungkin ada perubahan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertajuk "Jihad Membina Negara" di Program Perkampungan Sunnah Siri Ke-9 Tahun 2024, di sini.
Dalam pada itu, Anwar turut menekankan mengenai pembelajaran Hadis 40 Imam Nawawi.
Beliau berkata, ia merupakan pertama kali dalam sejarah pelajar Islam di semua institusi pendidikan diwajibkan untuk menguasai Hadis tersebut.
"Orang tanya lagi, memang dikritik juga oleh sesetengah yang bukan beragama Islam. Mereka anggap kita hendak paksa mereka belajar Hadis 40. Saya kata tidak diwajibkan untuk bukan beragama Islam, tetapi saya mahu setiap pelajar di Malaysia, setiap pelajar Islam itu ilmunya dapat ditingkatkan," katanya.
Tambah Anwar, Inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan tahap kefahaman yang lebih tinggi dan tidak hanya berlandaskan kepada buku teks semata-mata.