fb fb fb fb fb

Harga ayam dikurangkan 20 sen bermula 5 Februari ini

PUTRAJAYA, 31 Januari- Harga maksimum runcit untuk ayam standard dikurangkan 20 sen daripada harga siling semasa RM9.10 menjadikan harga baharu kepada RM8.90.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengenai Industri Pengeluaran Makanan turut memutuskan harga telur ayam semua gred kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa.

"Pelaksanaan kedua-dua harga ini bermula 5 Februari 2022 sehingga 5 Jun 2022, jelas Perdana Menteri menerusi satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Kerajaan juga jelas Ismail akan mengambil tindakan proaktif bagi memastikan harga bekalan dan pengeluaran makanan terutamanya untuk ayam dan telur ayam kekal berpatutan dan dalam masa sama industri penternakan ayam tidak terjejas sekali gus dapat memastikan bekalan kekal stabil.

Sebanyak empat kertas telah dibentangkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Pertanian dan Asas Tani serta Kementerian Pengangkutan dalam mesyuarat itu.

Mesyuarat khas itu turut dihadiri Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Mesyuarat hari ini turut fokus kepada penyelesaian jangka pendek untuk mengurangkan tekanan kenaikan harga.

"Langkah-langkah jangka panjang turut dibincangkan antaranya adalah menyokong penyelidikan yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menjadikan isi rong kelapa sawit bagi menggantikan jagung dan soya sebagai makanan ayam serta jaminan bekalan makanan bukan hanya mencukupi tetapi kemampuan Keluarga Malaysia untuk membeli, kata Perdana Menteri.

Media Baharu