KUALA TERENGGANU, 31 Januari- Seekor penyu Agar dewasa yang ditemui terperangkap dalam peralatan pukat tunda, hampir menjadi korban terbaharu populasi penyu di negeri Terengganu.
Ia bagaimanapun berjaya diselamatkan Unit Perlindungan Sumber, Jabatan Perikanan Terengganu dalam Ops Penyu di sekitar perairan Kuala Terengganu dan Marang yang berakhir hari ini.
Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat dalam satu kenyataan berkata tiga buah bot ditahan dalam operasi dua hari kerana menjalankan aktiviti pukat tunda musim tengkujuh tanpa kebenaran.
Sebuah lagi bot pukat jerut ikan zon C turut ditahan di kawasan Pulau Tenggol atas kesalahan menggunakan kru asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.
Keempat-empat bot berkenaan dibawa ke Pangkalan Pulau Kambing untuk disiasat mengikut Seksyen 11(3)(A), Seksyen 11(3)(B) dan Seksyen 8(B), Akta Perikanan 1985.
Sepanjang Januari tahun ini, 16 ekor penyu Agar dan seekor penyu Lipas ditemui mati di perairan Terengganu, berbanding 51 ekor sepanjang tahun lepas.
Punca kematian termasuk termakan plastik, disyaki lemas terperangkap dalam peralatan menangkap ikan atau perbuatan khianat manusia.
Jabatan Perikanan Terengganu menyeru orang ramai melaporkan sebarang penemuan penyu yang masih hidup atau mati ke talian hotline FISHCOM di 03-88704058 atau pejabat perikanan daerah berhampiran.