(Datuk Seri Mustapa pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasukan khas itu
diKementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna/BERNAMA)
PUTRAJAYA, 22 Ogos- Harga purata ayam dan telur semakin stabil di seluruh negara, kata anggota Pasukan Jihad Tangani Inflasi, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Menurut beliau purata harga ayam ketika ini ialah RM8.57 sen sekilogram, jauh lebih rendah daripada harga siling.
"Bekalan tiada masalah, (bekalan) telur pun tiada masalah, harganya selari dengan harga yang ditetapkan kerajaan iaitu bagi Gred A umpamanya 45 sen sebiji," katanya.
(Foto fail)
Mengenai ikan kembung pula beliau berkata harganya didapati semakin meningkat dan ada rakyat yang tidak mampu beli ‘ikan rakyat’ itu.
Menurutnya Malaysia bergantung pada 40% pengeluaran ikan kembung tempatan dan 60% lagi diimport dari dari Thailand (ikan segar) dan dari China (ikan sejuk beku).
“Ia (harga ikan) ada kaitan dengan sumber perikanan negara. Tindakan yang diambil ialah meningkatkan bekalan ikan sejuk beku kerana ia jauh lebih murah berbanding ikan segar,” katanya sambil menambah usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan minat rakyat Malaysia untuk makan ikan akua atau ikan air tawar.