fb fb fb fb fb

MADA ambil tindakan kurangkan risiko serangan penyakit perosak tanaman padi

ALOR SETAR, 22 Ogos- Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) melaksanakan beberapa tindakan bagi mengurangkan risiko serangan dan penularan penyakit tanaman padi Hawar Bulir Bakteria atau Bacterial Panicle Blight (BPB) yang dilaporkan merosakkan tanaman padi di beberapa kawasannya.

MADA dalam kenyataan memaklumkan pesawah dinasihatkan agar melakukan pemantauan ladang dengan lebih kerap dan teliti supaya tindakan kawalan yang bersesuaian dapat dilakukan dengan segera dan efektif.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan laporan sebuah media tempatan yang melaporkan 300 pesawah di sekitar Yan kerugian RM1.5 juta selepas 500 hektar sawah mereka diserang BPB baru-baru ini.

MADA berkata antara tindakan yang telah dilakukan ialah mengadakan kempen pengembangan selain pemantauan melalui program pengawasan dan ramalan perosak
(PNR).

Selain itu hebahan melalui kaedah Alert and Awareness, program kawalan merebak melalui edaran racun demonstrasi dan kerjasama strategik bersama jabatan dan agensi yang terlibat dalam tanaman padi juga dilaksanakan.

(MADA ambil tindakan kurangkan risiko serangan penyakit perosak tanaman padi/Foto fail)

"Berdasarkan laporan yang dikeluarkan hingga 17 Ogos 2022, kawasan serangan BPB seluas 26.41 hektar telah direkodkan iaitu 0.026% daripada keluasan MADA.

"7.70 hektar serangan penyakit di kawasan Wilayah I Perlis, 5.29 hektar di Wilayah II Jitra, 3.55 hektar di Wilayah III Pendang, manakala seluas 9.87 hektar di Wilayah IV Kota Sarang Semut," menurut kenyataan itu.

MADA secara keseluruhan mempunyai keluasan kawasan penanaman padi 96,558 hektar di Kedah dan Perlis.

Media Baharu