ROMPIN, 22 Ogos- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyarankan penduduk di seluruh negara melakukan pendaftaran kelahiran awal iaitu dalam tempoh 60 hari selepas kelahiran bagi memudahkan anak mereka mendapatkan sijil kelahiran.
Sekiranya pendaftaran dilakukan selepas tempoh tersebut, ia dikategorikan sebagai daftar lewat dan prosesnya perlu dilakukan dengan cara yang berbeza dan sukar kerana ia perlu diperhalus terlebih dahulu.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh berkata, perkara itu tidak boleh dianggap remeh dan perlu kesedaran ibu bapa demi dokumentasi anak mereka.
Mendaftarkan kelahiran anak adalah kewajipan semua ibu bapa sama ada anak dilahirkan di Malaysia atau hasil daripada perkahwinan yang berlaku di sempadan.
Tegas beliau tiada alasan untuk mendaftar lewat kelahiran kerana terdapat 223 pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara.
Proses dokumentasi kelahiran akan menjadi sukar sekiranya mereka lewat mendaftar kelahiran bayi mereka.
(Datuk Ruslin di temu bual selepas Program MEKAR di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit
Serok)
"Ada kes permohonan daftar lewat kelahiran ni mereka sudah berumur hampir 50 tahun. Kita pernah mengalami permohonan sebegitu 50 tahun baru datang ke JPN untuk mendaftar kelahiran. Apabila usia 50 tahun proses dokumentasi pembuktian kelahiran tu amat sukar untuk dapat.
"Kita terpaksa buat siasatan dan akan ambil masa yang panjang bagi memastikan mereka ini benar-benar lahir di Malaysia," kata Ruslin selepas Program MEKAR di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Serok di sini.
Majlis penyerahan dokumen pengenalan diri tersebut melibatkan 10 penerima Orang Asli termasuk murid yang belum mempunyai dokumen pengenalan diri.