KUALA LUMPUR, 25 Januari- 16 jenis barangan akan dikawal bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bermula 25 Januari hingga 2 Febuari ini sempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Dr Fuziah Salleh berkata pelaksanaan SHMMP adalah langkah kerajaan dalam menjaga kepentingan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana khususnya pada musim perayaan.
"Kali ini kita menambah daripada 11 item kerpada 16 item pada tahun ini. Harga maksimum dilaksanakan berikutan permintaan beberapa barangan keperluan semasa musim perayaan.
"Jadi kemungkinan besar apaliba berlaku permintaan yang tinggi, harga barangan berkenaan akan dinaikkan. Jadi sebab itu kita memperkenalkan SHMMP untuk persediaan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina 2025," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pemantauan di sebuah pasar raya di ibu negara melibatkan 15 pegawai penguat kuasa.
Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah membuat beberapa penambahan jenis barangan yang dikawal bawah skim itu termasuk ikan bawal putih, cili merah, bawang putih dan kubis bulat.
Pada masa sama pegawai penguat kuasa di seluruh negara ditugaskan di lokasi strategik bagi menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan.
"Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.
"Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan bawah skim ini," katanya lagi.
Sementara itu di Kedah terdapat 15 barangan dikawal KPDN negeri itu berikutan pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina.
Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata antara barangan tersebut ialah ikan bawal putih dan bawang putih.
Dalam perkembangan lain KPDN Kedah menerima 92 aduan berkaitan harga dan barangan kawalan pada 1 Januari hingga 25 Januari.
17 daripada jumlah itu adalah berkenaan minyak masak dan enam daripadanya masalah kurang atau tiada bekalan.
Kes dicatatkan itu melibatkan kawasan Kota Setar, Sungai Petani dan Langkawi.