IPOH, 25 Januari- Negeri Perak mencatatkan peningkatan kutipan hasil tanah dari RM643.9 juta kepada RM913.9 juta, tahun lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peningkatan itu hasil daripada pelaksanaan e-Tanah yang diperkenalkan sejak tahun 2021.
Beliau berkata kerajaan negeri menyasarkan peningkatan hasil tanah sebanyak RM991 juta tahun ini menerusi sistem tersebut dengan penambahan tiga inovasi baharu yang lebih mudah dan efisyen meliputi Modul di Lapangan, Technical Agency Prescriptions Solution System dan Mobile Apps e-Tanah.
"Dahulu secara manual, perlu pergi sana, balik buat charting dan sebagainya. Tadi, sistem itu menunjukkan pegawai pergi ke lapangan tersebut, daripada lapangan itu dia boleh terus menghantar laporan dengan menggunakan alat itu.
"Ada banyak permohonan tanah, hampir setiap hari, lagi cepat dia buat, lagi cepat kita buat keputusan, lagi cepat kita dapat duit. Maknanya, kita ada keyakinan penuh, sekurang-kurangnya RM991 juta (sasaran)", katanya.
Inovasi ini juga dilihat menyokong agenda Perak Sejahtera 2030 khususnya dalam memperkasa ekonomi digital yang mendorong penggunaan teknologi dalam kalangan kakitangan awam dan rakyat.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Hari e-Tanah Negeri Perak yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh.