fb fb fb fb fb

Hantaran palsu 3R, MCMC rakam keterangan tiga individu

Foto Fail

CYBERJAYA, 4 September- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam kenyataan tiga individu berhubung hantaran palsu berunsur perkauman yang dimuat naik di laman Facebook dan TikTok masing-masing.

Tindakan tersebut berpunca daripada insiden tular seorang wanita menaiki pentas utama semasa sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak di Ipoh, baru-baru ini.

MCMC dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan hantaran berkenaan yang mendakwa kononnya wanita itu berbangsa Cina adalah tidak benar, selain berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Menurut MCMC, proses rakaman keterangan dibuat pada Rabu (3 September) di tiga lokasi berbeza iaitu Balai Polis Kuala Nerang, Kedah, Balai Polis Beserah, Kuantan, serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang.

“Sebanyak tiga unit telefon bimbit, tiga keping kad SIM dan satu kad memori turut disita bagi tujuan analisis forensik digital,” jelas kenyataan itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

MCMC turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat sebelum membuat atau menyebarkan sebarang kandungan di media sosial.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM