fb fb fb fb fb

Hannah mahu wanita hidup sihat dengan program komuniti bersukan

PETALING JAYA, 11 Mac - Lebih banyak program bersukan bagi golongan wanita akan diadakan pada tahun ini sekali gus dapat meningkatkan tahap kesihatan mereka, kata Menteri Belia dan Sukan (KBS) Hannah Yeoh.

Hannah berkata KBS akan mendampingi wanita bagi membudayakan gaya hidup sihat dengan bersenam bersama komuniti dalam program yang sedang dirancang.

"Fokus kita adalah melihat wanita dalam sukan dan mempelbagaikan lagi program bersesuaian dengan golongan wanita termasuk membawa atlet wanita bersama.

"Kalau kita lihat program senamrobik, wanita suka dan mereka boleh menari serta bersenam. Jadi ini merupakan satu bentuk terapi kepada mereka," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita Peringkat KBS di Lembah Subang, hari ini.

Pada program itu turut diadakan acara senamrobik, bola jaring dan pertandingan mewarna kanak-kanak.

Program itu dianjurkan sempena Hari Wanita Antarabangsa yang bertemakan Kasih Wanita, di sambut pada setiap 8 Mac seluruh dunia.

Tambahnya, kira-kira 56 peratus golongan wanita berkerja dan berada di rumah seperti menjaga anak dan ibu bapa.

Oleh itu, pihaknya akan melihat aktiviti yang sesuai untuk dibawa kepada golongan itu bagi memudahkan mereka bersukan di kawasan rumah.

"Antara fokus kita adalah pergi ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk menganjurkan aktiviti di sana bagi memudahkan golongan ibu bersenam. Kesihatan ibu sangat penting untuk kesihatan keluarga," katanya

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, Ketua Setiausaha KBS Dr Nagulendran Kangayatkarasu dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) Mohd Azhari Mohammad.

(Menteri KBS Hannah Yeoh (tengah) senamrobik bersama peserta dalam Majlis Sambutan Hari Wanita
Peringkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Pusat Dagangan NZX, Lembah Subang, Petaling Jaya/FOTO KBS)

Media Baharu